GLOBAL

Penumpang bas maut di laluan Link Kedua

SINGAPURA, 26 FEB: Seorang wanita berusia 35 tahun maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas di laluan Link Kedua menghala ke pusat pemeriksaan Tuas di sini awal pagi tadi.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) berkata, mangsa yang tidak dinyatakan kewarganegaraannya adalah penumpang bas berkenaan dan disahkan maut di tempat kejadian oleh paramedik.

ICA berkata, pemandu dan 11 lagi penumpang bas dibawa ke hospital.

“Siasatan polis masih berjalan,” katanya dalam kenyataan, lapor BERNAMA.

ICA berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kemalangan jalan raya yang membabitkan bas itu pada jam 4.21 pagi.

Gambar yang dikongsi di media sosial menunjukkan bahawa kejadian itu membabitkan sebuah bas kilang.

Bas itu dipercayai dari Johor Bahru merempuh susur di kawasan pusat pemeriksaan itu sehingga menyebabkan lorong kenderaan berat ditutup hampir enam jam dan dibuka semula pada jam 10 pagi tadi.

Terdahulu, pihak berkuasa itu berkata kemalangan jalan raya itu telah menghalang laluan kenderaan berat yang mana bas dan lori yang tiba di Singapura tidak dapat memasuki pusat pemeriksaan.

“Bas dan lori tidak dapat memasuki pusat pemeriksaan, manakala trafik keluar dari Singapura terjejas kerana bas dan lori dilencongkan ke Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, ICA berkata, lalu lintas bagi kereta dan motosikal yang tiba dan keluar Singapura di pusat pemeriksaan Tuas kembali normal sekitar jam 7 pagi.

FOTO KREDIT: THE STRAITS TIMES


Pengarang :