NASIONAL

Perintah berkunjung ESSZone lanjut hingga 12 Mac

KOTA KINABALU, 24 FEB: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), yang berakhir esok akan dilanjutkan sehingga 12 Mac ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah dalam kenyataan hari ini berkata, perintah berkurung dari jam 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Katanya, orang ramai yang tinggal di kawasan itu dikehendaki berada di dalam rumah dan orang lain tidak dibenarkan masuk atau berada di kawasan diisytiharkan, pada waktu dan tarikh dinyatakan.

“Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terbabit tidak dicerobohi pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa menjalankan penyelidikan dan pelancong asing melawat pulau peranginan.

“Perintah berkurung itu juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat yang berada di kawasan daratan ESSZone,” katanya.

Katanya, perintah berkurung berkenaan akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet juga nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Omar berkata, berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik bagi mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZone untuk mengeluarkan permit kepada pemohon layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” katanya.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :