GLOBALNASIONAL

Perisytiharan darurat Trump cetus tunjuk perasaan

WASHINGTON, 19 FEB: Demonstrasi secara besar-besaran diadakan di Amerika Syarikat (AS) bagi membantah perisytiharan darurat oleh Presidennya, Donald Trump dalam usaha mendapatkan pembiayaan untuk membina tembok di sempadan AS-Mexico yang penuh kontroversi.

Trump menandatangani perintah darurat kebangsaan itu pada Jumaat untuk membina tembok di sempadan AS-Mexico dan menunaikan janji khasnya semasa kempen pilihan raya presiden pada 2016.

Langkah itu memberikan kuasa kepada presiden untuk melangkau Kongres bagi mendapatkan akses kepada wang namun ia mencetuskan satu pusingan baharu perundangan dan pertikaian kepartian hampir serta-merta.

Ratusan penunjuk perasaan melaungkan protes di luar Rumah Putih pada Isnin, yang merupakan cuti tahunan Hari Presiden AS, sebagai sebahagian daripada demonstrasi di seluruh negara.

“Tamatkan darurat palsu sekarang,” menurut satu sepanduk. “Kami menyokong pendatang dan pencari suaka,” kata sepanduk lain.

 

 

Pertikaian selama dua bulan berkaitan pembiayaan tembok sempadan antara Rumah Putih dan Kongres Demokrat menyebabkan penutupan kerajaan persekutuan bersejarah selama 35 hari yang berakhir, pada hujung bulan Januari.

Penasihat dasar kanan Rumah Putih Stephen Miller mempertahan tindakan Trump dalam satu temu bual dengan “Fox News Sunday,” dan menegaskan bahawa keadaan darurat adalah sesuatu yang nyata.

Terdapat peningkatan dalam jumlah “orang yang menyeberangi sempadan” dan “kematian yang mempunyai kaitan dengan dadah” sejak tahun 2000, dakwa beliau.

Para pegawai Kastam dan Perlindungan Sempadan telah menahan hampir 400,000 orang di sempadan AS-Mexico semasa tahun fiskal 2018, menurut data persekutuan.

Itu merupakan peningkatan berbanding tahun sebelumnya, namun kurang daripada jumlah pada 2016.

Dan angka tahunan baru-baru ini adalah yang terendah dalam tempoh hampir empat dekad, menurut laporan media tempatan.

Media tempatan melaporkan bahawa sekurang-kurangnya dua tindakan undang-undang telah diambil oleh kumpulan pemantau untuk mencabar kesahihan perisytiharan itu, dan Peguam Negara California Xavier Becerra pada Ahad berkata beliau “sudah pasti” akan memfailkan satu saman berhubung perkara itu.

Lebih 100 orang mengambil bahagian dalam perhimpunan di pusat bandar Chicago di Plaza Federal, bagi membantah apa yang mereka sifatkan sebagai “satu perintah darurat kebangsaan yang palsu dalam usaha untuk melangkau kongres.”

 

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :