SELANGOR

PERKESO bantu balu kakitangan JAIS

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 FEB: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menghulurkan faedah caruman kepada balu kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang kematian suami, pada 8 Januari lalu.

Balu, Nurul Izzati Nazirmuddin, 32, isteri kepada Allahyarham Muhammad Faisal Yaakub, 32, menerima bantuan bulanan RM1,540.50, bermula bulan ini dan sumbangan cek pencen penakat sejumlah RM2,000.

Sumbangan itu diserahkan pada Majlis Penyerahan Cek Pengurusan Jenazah di Auditorium Dahlia Dewan Muzakarah dan Syarahan, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan Pengarah PERKESO Selangor, Mustafa Draman sambil disaksikan Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim.

Allahyarham Muhammad Faisal adalah guru Maahad Integrasi Tahfiz Selangor, Alam Impian, Klang yang disahkan meninggal dunia selepas rebah ketika azan Zohor berkumandang, kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Sementara itu, Nurul Izzati yang juga kakitangan di Bahagian Pendidikan Islam JAIS ketika ditemui pemberita berterima kasih dan bersyukur atas bantuan diterima untuk meneruskan kehidupan.

“Apabila kematian mengejut sebegini memang banyak perlu gunakan wang. Jika dahulu kami kongsi bersama terutama soal pembayaran bil, namun kini tugas itu hanya saya seorang.

“Saya bersyukur dengan bantuan dan faedah diterima serta menyarankan mana-mana majikan untuk membuat caruman kepada kakitangan mereka yang berstatus sementara mahupun kontrak bagi kegunaan masa depan,” katanya yang kini sedang mengandung lapan bulan.

Pada masa sama, katanya, bantuan itu juga akan digunakan untuk urusan kelahiran anak pertama mereka.

Difahamkan, laporan penuh berkenaan punca kematian suami Nurul Izzati belum dipastikan dan ia akan diketahui, pada Mac ini.

Sementara itu, Mustafa berkata, anak kepada Nurul Izzati juga akan mendapat faedah selepas dilahirkan nanti, sekali gus menjadikan jumlah bantuan bulanan keseluruhan RM2,567.50.

Beliau berkata, Allahyarham layak mendapat sumbangan itu selepas JAIS membuat caruman PERKESO bagi kakitangannya yang berstatus sementara dan kontrak.

“Faedah ini akan diberikan sepanjang hidup kepada Nurul Izzati meskipun andai kata beliau sudah berkahwin lagi, faedah ini tetap berterusan.

“Manakala bagi anaknya faedah ini akan diberikan sehingga berusia 21 dan turut layak membuat skim pinjaman pendidikan PERKESO sehingga peringkat Ijazah pertama sekiranya tidak mendapat mana-mana pembiayaan pendidikan dari mana-mana institusi,” katanya.


Pengarang :