SELANGOR

Pertanian masih rendah, jangan ambil mudah keselamatan makanan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 14 FEB: Sektor pertanian tidak boleh dipandang rendah ekoran sektor terbabit memainkan peranan besar dalam memastikan jaminan keselamatan makanan negara.

EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, Malaysia wajar mencontohi negara jiran seperti Thailand dan Vietnam yang muncul sebagai negara pengeluaran pertanian yang besar di Asia.

“Kita banyak bergantung kepada import sedangkan negara jiran mampu menjana hasil pertanian yang besar dan mengeksport ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Projek Agrobandar Oleh Agrosel di perkarangan Kompleks Penghulu Mukim Semenyih di sini, hari ini.

Izham berkata, sektor pertanian negara khasnya di Selangor masih menjadi penyumbang kecil kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding sektor lain.

Katanya, sektor pertanian hanya menyumbang kira-kira 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Sementara itu, sektor pertanian Selangor pula menyumbang sekitar 1.5 peratus daripada KDNK Selangor.

“Anak muda lebih suka bekerja di kilang kerana pertanian masih dianggap sebagai sektor yang tidak memberikan pendapatan yang baik,” katanya.


Pengarang :