EKONOMI

Pertumbuhan 4.7 peratus beri keyakinan ekonomi kembang pesat

PUTRAJAYA, 14 FEB: Pertumbuhan ekonomi negara pada kadar 4.7 peratus pada 2018 memberi keyakinan bahawa ada landasan untuk ekonomi berkembang dengan lebih pesat tahun ini, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, walaupun kadar itu kurang 0.1 peratus berbanding sasaran ditetapkan 4.8 peratus, prestasi itu dilihat memuaskan memandangkan keadaan ekonomi global yang amat mencabar termasuk perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

“Pertumbuhan ekonomi negara-negara lain pun menghadapi pengurangan, jadi kita mesti lihat dalam konteks global, semua terjejas.

“Kita lihat untuk Malaysia mencapai tahap 4.7 peratus adalah antara prestasi yang lebih baik,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan cek peruntukan tambahan RM25 juta untuk Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Persendirian kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada ekonomi negara akan terus berkembang pada suku pertama tahun ini, berdasarkan pertumbuhan 4.7 peratus pada suku keempat 2018, Guan Eng berkata, ia agak mencabar dan bergantung kepada keadaan ekonomi global.

Terdahulu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata, ekonomi Malaysia tumbuh 4.7 peratus pada 2018 dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM1.23 trilion pada harga malar dan RM1.43 trilion pada harga semasa.

Menurutnya, Malaysia mencatatkan prestasi lebih baik pada suku keempat 2018 dengan pertumbuhan 4.7 peratus selepas merekodkan pertumbuhan sederhana pada dua suku tahun berturut-turut pada 2018.

– BERNAMA


Pengarang :