BERITA UTAMANASIONALSELANGOR

Pimpinan PAKATAN kerja 24 jam, bukan hanya pilihan raya

OLEH NORHAYATI UMOR

SEMENYIH, 13 FEB: Kehadiran jemaah Menteri ke kawasan Semenyih tidak sepatutnya dikaitkan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Sebaliknya, Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) berkhidmat sepanjang masa tanpa mengira waktu.

Malah, katanya, DUN Semenyih dan daerah Hulu Langat menerima pembangunan pesat sejak 2008 selepas PAKATAN mengambil alih pentadbiran Selangor.

“Baru-baru ini, Perdana Menteri beritahu beliau terkejut Semenyih kini dikenali sebagai bandar yang hebat dengan pembangunan teratur dan tersusun.

“Sejak 2008, kami mahu pembangunan bukan saja berpusat di bandar tetapi dibawa ke luar bandar supaya rakyat dapat manfaat.

“Kalau kami tak turun dulu, tak mungkin Semenyih dan Hulu Langat dapat pembangunan seperti ini. Mana mungkin Semenyih dapat pembangunan jika kita tak turun ke sini sejak 2008,” katanya ketika melancarkan Bilik Gerakan Wanita PAKATAN bagi PRK DUN Semenyih di Beranang, di sini.

Hadir sama, Ketua Wanita PAKATAN, Zuraida Kamaruddin; Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Talha; Ketua Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Rina Harun dan Ketua Wanita Parti Amanah Negara (AMANAH), Dr Siti Mariah Mahmud.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri turut membantu penduduk kampung berpendapatan rendah dengan mengecualikan cukai taksiran dan fi penjaja.

“Ketika saya menjadi Dato’ Menteri Besar, keputusan ini dibuat. Kerajaan Negeri hilang pendapatan RM79 juta setahun tetapi tidak mengapa kerana banyak kita beri, lebih banyak kita dapat.

“Jadi, jika kita boleh buat di peringkat negeri, mengapa kita tidak boleh buat di peringkat pusat?

“Jangan bandingkan Cameron Highlands dengan Semenyih kerana kita belum diberi peluang mentadbir Pahang. Di Selangor, kita mentadbir 10 tahun dan rakyat beri kepercayaan sehingga kita bolot 51 kerusi DUN,” katanya.


Pengarang :