PBTSELANGOR

PJ Joran 2019 tawar hadiah lebih RM13,000

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 27 FEB: Hadiah keseluruhan melebihi RM13,000 bakal menanti kaki pancing dalam PJ Joran 2019, anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Jurucakap Unit Komunikasi Korporatnya dalam kenyataan memaklumkan, edisi keempat penganjuran itu akan berlangsung di Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya, Petaling Jaya, pada 10 Mac ini.

Katanya, program terbabit adalah usaha untuk mempromosikan Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya sebagai destinasi beriadah dan menjalankan aktiviti sihat dalam kalangan penduduk sekitar.

“Program ini juga sebahagian acara utama dalam PJ Car Free Day Siri 1/2019 yang dianjurkan pada hari sama,” katanya.

Selepas mendapat sambutan menggalakkan pada edisi terdahulu, acara yang turut mengisi kalendar tahunan MBPJ itu menyasarkan penyertaan kira-kira 700 peserta.

Katanya, sebanyak dua kategori dipertandingkan iaitu Kategori Terbuka dan Kategori Khas Ikan Keli.

“Yuran penyertaan dikenakan RM40 untuk sebatang joran dan pendaftaran boleh dibuat pada 9 Mac (Sabtu) bermula jam 1 tengah hari hingga 10 malam, di Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya, Petaling Jaya.

“Sebanyak 500 baju t akan diedarkan secara percuma kepada peserta yang terawal selain para peserta berpeluang untuk memenangi kira-kira 40 hadiah cabutan bertuah,” katanya.

Turut memeriahkan pertandingan PJ JORAN 2019 ialah rakan strategik bersama dan penaja iaitu Oishi Green Tea serta Igloo.

Sebarang maklumat lanjut berhubung pertandingan itu boleh menghubungi Bahagian Kebudayaan, Kesenian, Sosial & Pelancongan, Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan MBPJ di talian 03-77810178 / 013-2661077 / 013-3052811 atau 012-2846811.


Pengarang :