GLOBALSUKANKINI

PL: Satu mata kembali lonjak Liverpool di puncak liga

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 25 FEB: Liverpool kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris selepas terikat tanpa jaringan 0-0 berdepan Manchester United di Old Trafford, semalam.

Babak pertama menyaksikan empat pertukaran pemain dilakukan dengan tiga daripadanya milik United selepas Ander Herrera, Juan Mata dan Jesse Lingard mengalami kecederaan otot sementara Roberto Firmino dikeluarkan Liverpool selepas cedera buku lali.

Liverpool terlebih dahulu berpeluang di hadapan selepas dihadiahkan sepakan percuma seawal minit pertama susulan tindakan penjaga gol United, David De Gea tertampan tolakan ke belakang rakan sepasukan, Ashley Young dalam kotak penalti.

James Milner gagal melakukan penyudah tepat dan perkara sama turut dilalui Mohamed Salah apabila sepakan percumanya tidak menepati sasaran pada pertengahan babak pertama.

Peluang terbaik United membuka jaringan adalah pada minit ke-40 menerusi Jesse Lingard yang melepasi perangkap offside pertahanan Liverpool tetapi penjaga gol, Alisson Becker bertindak lebih cepat menyekat bola.

Bersambung babak kedua, tidak banyak gerakan bahaya dilakukan kedua-dua pasukan walaupun Liverpool lebih menguasai kawalan bola.

United mempunyai peluang terbaik pada penghujung permainan tetapi Chris Smalling gagal melakukan sebarang sentuhan terhadap hahtaran Romelu Lukaku sekali gus perlawanan berakhir tanpa jaringan.

Kelebihan satu mata itu menyaksikan skuad bimbingan Jurgen Klopp mengatasi Manchester City di tangga kedua dengan mengutip 66 mata selepas 27 perlawanan.

Kredit Foto: Facebook Premier League


Pengarang :