NASIONAL

PLUS beri diskaun tol 10 peratus pada 5 Febuari

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 FEB: Pelanggan kenderaan kelas satu yang menggunakan rangkaian lebuh raya PLUS dan lebuh raya Pantai Timur 2 (LPT2) berpeluang menikmati diskaun tol sebanyak 10 peratus pada 5 Februari ini sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Azman Ismail berkata, pelanggan lebuh raya akan diberikan diskaun tol sebanyak 10 peratus ketika membayar tol di antara jam 12 pagi hingga 11.59 malam.

“Ini diberikan sebagai penghargaan terhadap sokongan pelanggan serta meraikan sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya dalam satu kenyataan.

Azman berkata, diskaun tol ini diberikan kepada pelanggan kenderaan kelas satu ketika mereka membayar atau membuat transaksi tol di lebuh raya PLUS iaitu di Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH).

Diskaun itu turut membabitkan pengguna Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang serta Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

“Sebagai contoh, sekiranya pelanggan mula memasuki lebuh raya pada jam 8 malam pada 4 Februari tetapi keluar dari lebuh raya dan membuat bayaran/transaksi tol pada jam 1 pagi pada 5 Februari, mereka akan tetap layak menikmati diskaun terbabit,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, diskaun itu tidak diberikan bagi transaksi tol di Plaza Tol Tanjung Kupang dan Jambatan Pulau Pinang yang sedang menikmati diskaun tol 20 peratus sedia ada.


Pengarang :