GLOBAL

PM Australia akur tubuh panel kaji pemindahan perubahan bagi pencari suaka

CANBERRA, 4 FEB: Perdana Menteri Australia, Scott Morrison terpaksa tunduk di bawah tekanan agar satu panel ditubuhkan bagi mengkaji pemindahan pencari suaka dari pusat tahanan pesisir, lapor agensi berita China Xinhua.

Morrison telah berjanji pada Isnin untuk menubuhkan panel bebas berhubung perkara itu hanya seminggu selepas beliau mengesahkan bantahannya terhadap cadangan terbabit.

Panel itu adalah komponen utama perundangan yang bakal diperkenal kepada parlimen oleh anggota parlimen bebas, Kerryn Phelps, yang bertujuan memberi kuasa kepada doktor untuk membawa pencari suaka yang berada dalam keadaan kritikal ke Australia bagi mendapatkan rawatan.

Di bawah sistem sedia ada, Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri berkuasa menghalang pemindahan perubatan tanpa mengambil kira nasihat pakar.

Rang undang-undang Phelps, yang disokong pembangkang iaitu Parti Buruh Australia (ALP), akan menyaksikan pemindahan perubatan dilakukan dalam tempoh 24 jam dengan dua ‘doktor yang merawat’ memaklumkan jabatan itu bahawa pesakit terbabit memerlukan penjagaan dari segi perubatan atau psikiatri.

Tindakan Morrison yang menukar pendiriannya dalam isu itu disifatkan sebagai usaha untuk mengambil hati penyokong Phelps dan mengelak kekalahan bersejarah di parlimen berhubung rang undang-undang terbabit yang telahpun mempunyai sokongan secukupnya untuk diluluskan meskipun terdapat bantahan daripada pihak kerajaan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :