GLOBAL

PM Britain tangguh pengundian Brexit sehingga 12 Mac

LONDON, 25 FEB: Perdana Menteri Britain, Theresa May pada Ahad mengesahkan bahawa pengundian anggota parlimen berhubung usul perjanjian Brexit akan ditangguh sekali lagi sehingga 12 Mac, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan.

Bercakap kepada pemberita di atas pesawat ketika dalam perjalanan ke Sharm el-Sheikh di Mesir bagi menghadiri sidang kemuncak Kesatuan Eropah (EU)-Liga Arab (AL) pada Ahad, May menolak kemungkinan beliau akan membawa usul berkaitan perjanjian Brexit ke Dewan Rakyat minggu ini.

May dipetik oleh akhbar the Guardian sebagai berkata, “Pasukan saya akan kembali ke Brussels pada Selasa. Oleh itu, pengundian di parlimen tidak akan memberi sebarang makna minggu ini, namun kami akan pastikan ia berlaku pada 12 Mac. Bagaimanapun, kita masih berpeluang untuk meninggalkan EU pada 29 Mac dan itulah yang kami rancang untuk lakukan.”

Keputusan beliau bakal memberi tamparan hebat kepada pembangkang yang merancang untuk menggunakan pengundian minggu ini di Dewan Rakyat untuk menangguhkan pengunduran Britain dari EU, atau Undi Rakyat berhubung kata sepakat yang dicapai oleh May dengan Brussels.

Meskipun sidang kemuncak EU-AL tidak dijadual membincangkan isu Brexit, May berkata, beliau akan mengambil peluang itu untuk bertemu pemimpin negara anggota kesatuan terbabit dalam usaha melakukan pindaan dalam persetujuan yang dicapai beliau.

Tarikh baharu untuk pengundian di Dewan Rakyat ialah 17 hari sebelum Britain dijadual menamatkan keanggotaannya dalam EU, iaitu pada 29 Mac.

The Guardian melaporkan bahawa May dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden Majlis Eropah, Donald Tusk pada Ahad dan Canselor Jerman, Angela Merkel pada Isnin di Mesir.

Dalam apa yang disifatkan sebagai minggu penuh kekecohan bagi politik Britain, 10 anggota parlimen terdiri daripada tiga anggota Parti Konservatif dan tujuh anggota Parti Buruh, telah meninggalkan parti masing-masing untuk membentuk Kumpulan Anggota Parlimen Bebas di Dewan Rakyat.

Sementara itu dalam perkembangan terkini, tiga menteri kanan iaitu Amber Rudd, Greg Clark dan David Gauke memaklumkan akhbar Daily Mail bahawa mereka akan menyokong langkah untuk memperluas Perkara 50, mekanisme yang menetapkan tarikh pengunduran Britain pada 29 Mac.

Mereka berkata, langkah itu adalah bagi mengelak “kesan teruk” susulan perjanjian Brexit yang tidak akan dirunding semula, melainkan satu kata sepakat dicapai dengan Brussels dalam tempoh beberapa hari berikutnya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :