TOKYO, 7 Nov — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang akhbar kepada wartawan Malaysia selepas menamatkan lawatan kerja selama tiga hari ke Jepun hari ini. –fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA TOKYO, Nov 7 — Prime Minister Tun Dr Mahathir Mohamad during a press conference with Malaysian journalists after ending of his three-day working visit to Japan, today. — fotoBERNAMA (2018) COPYRIGHT RESERVED?
NASIONAL

PM gesa sektor swasta balas sokongan kerajaan dengan sumbang pembangunan ekonomi

KLANG, 25 FEB: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa sektor swasta agar membalas sokongan kerajaan yang membantu memacu pertumbuhan mereka dengan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan bukan sekadar beroperasi hanya untuk meraih keuntungan.

Beliau berkata, usaha niaga swasta yang maju dan berjaya akan menyumbang kepada ekosistem ekonomi negara daripada pekerjaan, latihan, pembangunan kakitangan, gaji, perumahan hingga kepada tanggungjawab sosial korporat dan manfaat lain bagi pekerja serta masyarakat.

Dr Mahathir berkata, sektor pembuatan banyak menyumbang dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai pemain utama dalam rantaian nilai global dan membantu mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian.

“Untuk mengembangkan ekonomi kita, sektor pembuatan perlu kekal menjadi tulang belakang ekonomi kita, walaupun disokong sektor lain seperti komoditi, perkhidmatan dan sebagainya,” katanya pada majlis perasmian kilang Metrod Holdings Bhd di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, dalam beberapa dekad ini sektor pembuatan telah mencatatkan evolusi pesat daripada pengeluaran besar-besaran menerusi tenaga kerja intensif yang bekerja di barisan pengeluaran, kepada penggunaan robot bagi meningkatkan kecekapan dan menggunakan lebih banyak automasi, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI).

“Saya percaya dalam nilai pembuatan kepada ekonomi negara dan ia adalah sektor penting yang meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup rakyat Malaysia dalam era 1980an hingga ke 1990an,” katanya.

Dr Mahathir berkata, walaupun hari ini banyak ekonomi kelihatan menumpukan lebih kepada perkhidmatan dan bukannya kepada sektor tradisional seperti pembuatan, beliau percaya ekonomi yang paling utuh dan berdaya tahan masih akan mengekalkan sektor pembuatan yang kukuh.

“Kerajaan menggalakkan kebangkitan dan kejayaan sektor swasta, mengetahui sepenuhnya yang kami akan memotong keuntungan menerusi pencukaian.

“Bagi kami, ia adalah munasabah bahawa lebih besar keuntungan yang diraih sektor swasta lebih besar bahagian cukai yang kami kutip,” katanya.

Dr Mahathir berkata, nilai dan elemen industri 4.0 (Revolusi Perindustrian Keempat) boleh menangani banyak isu berkaitan perniagaan termasuk alam sekitar, kesihatan dan keselamatan tenaga kerja, pengurusan sisa buangan, kecekapan dalam menguruskan rantaian bekalan, sumber serta sistem penghantaran.

Mengenai Industry4WRD (Pelan tindakan Malaysia bagi Industri 4.0) yang dilancarkan baru-baru ini, beliau berkata, ia adalah tindak balas negara terhadap Industri 4.0 dan seterusnya, bagi memastikan transformasi sektor pembuatan serta perkhidmatan berkaitannya, agar menjadi lebih pintar juga kukuh dan dipacu oleh pekerja, proses dan teknologi.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :