KUALA LUMPUR, 6 Feb — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melihat pameran ketika hadir pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di Wisma Chinese Chamber hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMANASIONAL

PM, TPM meriahkan rumah terbuka Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluangkan masa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina, di Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), di sini.

Beliau yang tiba kira-kira jam 10.40 pagi dengan diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, segak berkemeja bmerah, disambut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri Kabinet lain serta Duta China ke Malaysia, Bai Tian juga Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia, Vicki Treadell.

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah bersama tetamu kehormat lain turut menggaul ‘yee sang’, acara tradisi masyarakat Tionghua yang melambangkan nasib baik, kemakmuran dan segala perkara yang menguntungkan.

Sementara itu, Guan Eng dalam ucapannya berkata, rumah terbuka itu berlangsung dengan suasana sangat muhibbah kerana dianjurkan secara bersama dewan perniagaan yang mewakili kaum Cina, India dan Melayu.

Katanya, muhibbah antara kaum itu adalah watak yang dibawa kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Dr Mahathir.

“Saya juga yakin dengan perpaduan rakyat, kita akan mencapai pembangunan ekonomi mampan.

“Marilah kita tunjuk yang rakyat Malaysia boleh bangkit semula supaya negara boleh dikenali sebagai harimau ekonomi Asia,” katanya.

Pada majlis itu, hadirin dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional pelbagai kaum.

*Sumber: BERNAMA

 


Pengarang :