NASIONAL

PM ucap tahniah, chef pastri Malaysia juara dunia

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengucapkan tahniah kepada satu pasukan chef pastri Malaysia yang telah dinobatkan sebagai juara Piala Dunia Pastri 2019 atau Coupe du Monde de la Pâtisserie di Lyon, Perancis.

“Tahniah #TeamMalaysia. Rakyat Malaysia bangga dengan pencapaian ini. Malaysia Boleh!,” Dr Mahathir menjawab Twitter Sunway University, hari ini.

Pasukan Malaysia yang terdiri daripada Ketua Chef School of Hospitality, Universiti Sunway, Patrick Siau dan Tan Wei Loon, Otto Tay serta Loi Ming Ai telah mengalahkan 20 pasukan lain termasuk dari Jepun dan Itali dalam pertandingan akhir pada 28 Januari lalu.

Media tempatan melaporkan, pasukan itu ditugaskan menghasilkan tiga pencuci mulut coklat dengan crab gran Valrhona, tiga pencuci mulut pelbagai buah-buahan sejuk beku Ravifruit, 15 pencuci mulut yang sama di atas pinggan dan ciptaan seni yang diperbuat daripada gula, coklat serta ais hidrik yang diukir.

Piala Pastri Dunia itu adalah acara antarabangsa yang diadakan setiap dua tahun sekali di Lyon, Perancis.

Ia diadakan untuk mengiktiraf bakat pastri muda terbaik dari seluruh dunia dengan proses pemilihan mbabitkan lebih daripada 50 pusingan kebangsaan dan empat acara pemilihan dari benua Asia, Afrika, Eropah dan Amerika Latin.

SUMBER: BERNAMA

FOTO: worldofbuzz.com


Pengarang :