SELANGOR

Polis siap siaga pantau kes samun bersenjata

SUBANG JAYA, 24 FEB: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya meletakkan anggotanya dalam tahap kesiapsiagaan yang tinggi selepas kes samun berkumpulan dilaporkan berlaku, di beberapa daerah di Selangor, sejak 21 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, walaupun pihaknya tidak menerima laporan di daerah Subang Jaya yang menyamai modus operandi kumpulan itu setakat ini, ia tidak boleh dipandang ringan.

“Bila menerima maklumat kes jenayah membabitkan daerah berhampiran, kita kerah elemen yang berkenaan seperti Unit Rondaan Bermotosikal, Pasukan Kereta Peronda dan rondaan cegah jenayah untuk bertindak.

“Arahannya pantau, tahan, periksa, tangkap, ini tindakan yang akan dilakukan jika anggota IPD bertembung dengan mereka yang mencurigakan, kerana dalam perlakuan jenayah seumpama ini, tindakan mencegah adalah lebih baik,” katanya lapor BHONline.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Operasi Oscar di Putra Height, di sini.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung kegiatan samun lapan lelaki dengan menaiki empat motosikal, di Kinrara, yang kini menjadi tumpuan utama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kontinjen Selangor.

Suspek yang bersenjatakan parang dan bergerak dengan motosikal akan mencari sasaran rumah di kawasan sunyi sebelum melakukan jenayah samun.

Ketua JSJ Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat dilaporkan berkata, pada masa ini suspek dipercayai terbabit sekurang-kurangnya dalam enam kes samun di sekitar Klang Utara, Banting dan Serdang.


Pengarang :