NASIONAL

Polis tahan lelaki muat naik status berbaur perkauman, hina agama

GEORGE TOWN, 10 FEB: Polis menahan seorang lelaki kerana memuat naik kenyataan berbaur perkauman dan maki hamun dalam laman sosial Facebook dengan menggunakan akaun palsu, semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A Anbalagan berkata, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di Bukit Mertajam kira-kira jam 7.15 malam susulan laporan polis dibuat seorang pengurus sebuah kilang di Bayan Baru, dekat sini.

“Polis menerima laporan daripada lelaki berusia 47 tahun yang bekerja sebagai pengurus sebuah kilang itu pada Khamis memaklumkan gambarnya digunakan oleh satu akaun Facebook memuat naik status berbaur perkauman, memaki hamun dan menghina agama Islam.

“Lelaki itu mengesyaki perkara itu dilakukan bekas pekerjanya kerana sebelum ini pengurus berkenaan pernah membuat laporan berhubung perkara yang sama dan suspek mengaku tidak mahu mengulangi perbuatan terbabit lagi,” katanya di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Katanya, pengurus itu percaya lelaki berkenaan masih melakukan perkara sama untuk memburukkan nama mangsa kerana dia tidak berpuas hati dengan pengurus berkenaan.

Anbalagan berkata, polis merampas telefon bimbit digunakan suspek untuk memuat naik status berkenaan dan dia mengaku turut memuat naik gambar serta nombor telefon pengurus berkenaan.

Katanya, tindakan suspek menyalahgunakan media sosial dan menggunakan agama atau sentimen perkauman seperti itu boleh membangkitkan kemarahan sesuatu pihak atau kaum serta mengundang ancaman kepada individu berkenaan.

“Tindakan suspek juga boleh mencetuskan insiden perkauman dan saya berharap pengguna media sosial tidak mudah percaya pada sesuatu yang ditularkan tanpa usul periksa,” katanya.

Katanya, lelaki yang tidak bekerja dan mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah itu kini direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.


Pengarang :