NASIONAL

Polis tembak mati anggota sindiket culik

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Dua lelaki warga asing dipercayai anggota sindiket penculikan mati ditembak polis dalam satu kejadian tembak menembak, di Taman Mudun, Batu 9, Cheras awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, kejadian pada jam 1.35 pagi itu membabitkan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Kuala Lumpur yang membuat serbuan ke atas sebuah rumah.

Katanya, tindakan diambil selepas menerima maklumat berhubung kes penculikan seorang warga asing.

“Suspek yang ditumpas dipercayai sindiket penculikan warga asing yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Selain itu, seorang mangsa culik warganegara Bangladesh berusia 30an turut diselamatkan yang diculik pada Jumaat lalu di sekitar Sentul,” katanya lapor BERNAMA.

Katanya, pemeriksaan ke atas dua suspek itu tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri, namun polis menemui pistol 9mm dan parang yang dipercayai digunakan suspek.

“Seorang suspek yang ditembak mati dipercayai dalang utama kumpulan terbabit.

“Polis kini dalam proses mengenal pasti identiti kedua-dua suspek dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :