NASIONAL

Polis terima laporan program Najib di Langkawi

LANGKAWI, 2 FEB: Polis mengesahkan terima laporan mengenai program mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Langkawi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superitendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, lima laporan terbabit dibuat anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Langkawi di Balai Polis Kuah pada 4.30 petang semalam.

“Laporan dibuat lima anggota PPBM berhubung program mantan Perdana Menteri itu di kawasan Pantai Cenang (2 Februari).

“Polis mengambil maklum dan sudah menasihatkan pihak penganjur, mereka berjanji hanya membuat program minum pagi sahaja di dalam restoran dan tiada sebarang ceramah akan dilakukan,” katanya ketika dihubungi BERNAMA hari ini.

Beliau berkata, polis akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa.

Sementara itu berdasarkan laporan polis itu, pengadu mahu polis menjalankan siasatan dan tinjauan sama ada program tersebut mendapat permit, ada unsur hasutan serta perkauman.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :