NASIONAL

Pondok ‘kasino’ diserbu, sekumpulan lelaki leka berjudi diberkas

BUKIT MERTAJAM, 7 FEB: Kegiatan sembilan lelaki yang menjadikan sebuah pondok di Perkampungan Juru di sini, sebagai ‘kasino’ untuk berjudi terbongkar apabila mereka diserbu polis, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, kesemua lelaki berumur antara 33 dan 69 tahun itu dipercayai menggunakan pondok berkenaan untuk berjudi sejak seminggu lepas.

“Pasukan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah SPT yang menyerbu pondok itu turut merampas wang tunai berjumlah RM950 dipercayai wang pertaruhan dan 52 keping daun terup,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, beberapa lelaki terbabit cuba melarikan diri semasa serbuan kira-kira 4.15 petang itu, namun gagal meloloskan diri apabila pasukan polis telah mengepung kawasan berkenaan terlebih dahulu.

“Mereka kini direman dua hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjalankan perjudian secara haram,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :