Selangorkini
PUTRAJAYA, 18 Feb — Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching (tengah) menyaksikan majlis penyerahan replika papan kenyataan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) daripada Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Bok Siew Mun (dua, kiri) kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Polis Rusdi Mohd Isa (dua, kanan) pada Majlis Permuafakatan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM): Program Jom Ke Sekolah Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya Tahun 2019 di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1) hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

PPS kunjungi sekolah sebulan sekali atasi isu disiplin

PUTRAJAYA, 18 FEB: Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) terdiri daripada anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), diminta melakukan kunjungan ke sekolah sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi memberi nasihat berkenaan kepolisan kepada pelajar.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, PPS boleh membuat kunjungan pada bila-bila masa dan bukan hanya pada hari perhimpunan sekolah semata-mata.

Katanya selain hari perhimpunan, PPS juga boleh menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bertemu guru besar, bermesyuarat dengan guru atau berjumpa terus dengan pelajar.

“Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian adalah untuk memastikan PPS masuk ke sekolah sekurang-kurangnya sebulan sekali dan kita percaya kehadiran polis mampu mengurangkan kes disiplin serta jenayah dalam kalangan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Permuafakatan Kementerian Pendidikan dan PDRM di Sekolah Rendah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1) di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohd Isa dan Guru Besar Norihan Ismail.

Katanya, selepas tiga tahun dilaksanakan, program yang berjaya membantu pihak sekolah menangani isu disiplin dan jenayah itu kini diperkukuhkan dengan pengenalan papan kenyataan PPS di semua sekolah.

“Semua sekolah digalakkan menyedia dan menggunakan papan kenyataan itu untuk menyampaikan maklumat kepada pelajar dan polis berkaitan aktiviti serta program yang berlaku di sekolah terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam perutusan yang dibacakan Rusdi sempena program itu berkata, PPS berperanan dalam membantu mewujudkan suasana sekolah yang selamat seperti digariskan dalam Buku Panduan Pegawai Perhubungan Sekolah.

Antara perkara yang dilakukan ialah mengumpul maklumat daripada sekolah untuk diambil tindakan oleh kementerian dan PDRM.

“Jika perlu, kita akan melakukan rondaan, lawatan berjadual di kawasan sekolah dan memberikan ceramah berkaitan hal keselamatan kepada warga sekolah, katanya.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :