SELANGOR

PRK Semenyih: 858 anggota dan pasangan buang undi awal hari ini

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 26 FEB: Proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.24 Semenyih bermula hari ini membabitkan 858 orang daripada jumlah keseluruhan 951 orang.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, pusat pengundian awal dibuka jam 8 pagi sehingga 5 petang manakala pusat mengundi di Discress Room, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, waktu pengundian ditutup jam 2 petang.

“Semua pengundi awal adalah anggota Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan akan mengundi di Dewan Serbaguna Batallion 4 PGA Semenyih seramai 761 orang dan Discress Room 97 orang.

“Manakala sebahagiannya 93 orang anggota polis PGA telah mengundi secara pos,” katanya.

Beliau berkata, proses pengundian awal akan disaksikan setiap ejen calon bertanding selain Pemerhati Pilihan Raya daripada wakil organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilantik SPR.

SPR juga menyiarkan proses pengundian awal menerusi ‘Live Facebook’.

“Kertas undi awal tidak akan dikira di tempat mengundi pada 26 Februari sebaliknya semua peti undi awal disimpan di tempat selamat iaitu di lokap balai polis.

“Pada 2 Mac nanti, peti undi itu akan dibawa ke pusat pengiraan undi di pusat pengundian ditetapkan SPR sambil disaksikan ejen calon masing-masing.

“Pemerhati pilihan raya yang dilantik juga dibenarkan untuk memerhati proses pengiraan undi,” katanya.

 


Pengarang :