SELANGOR

PRK Semenyih: Dua pusat undi awal dibuka esok

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 FEB: Dua pusat pengundian awal akan dibuka esok bagi membolehkan 858 pengundi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih menunaikan tanggungjawab mereka.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, 761 anggota Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan akan mengundi di Pusat Mengundi di Dewan Serbaguna Batallion 4 PGA Semenyih.

Katanya, 97 anggota keselamatan lagi mengundi di Discress Room, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

“Sebahagian lagi iaitu 93 orang pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis PGA sudah mengundi secara pos,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Keseluruhan 951 orang pengundi awal dan pos berada di DUN Semenyih, majoritinya adalah anggota keselamatan.

Azhar berkata, pusat pengundian awal dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5 petang, namun bagi pusat mengundi di Discress Room, IPD Kajang waktu pengundian ditutup jam 2 petang.

“Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh setiap agen calon yang bertanding.

“Di samping itu, pemerhati pilihan raya daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR juga akan menyaksikan proses berkenaan,” katanya.


Pengarang :