SELANGOR

Proses penamaan calon PRK Semenyih bermula pagi ini

OLEH NORHAYATI UMOR

KAJANG, 16 FEB: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih bermula pada jam 9 pagi ini di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), di sini.

Calon-calon mempunyai tempoh selama sejam iaitu sehingga 10 pagi ini untuk mengemukakan borang pencalonan masing-masing sebelum Pegawai Pengurus PRK, Datuk Mohd Sayuthi Bakar mengumumkan nama calon yang layak bertanding.

Sebanyak 13 kertas pencalonan setakat Jumaat dibeli.

Ia merangkumi tiga oleh Pakatan Harapan (PAKATAN), Barisan Nasional (BN) lima dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) satu borang.

Turut dijual empat lagi borang pencalonan untuk calon Bebas.

PAKATAN mempertaruhkan jurutera muda, Muhammad Aiman Zainali, 30, manakala BN mempertaruhkan pemimpin tempatan, Zakaria Hanafi, 58.

Selain itu, PSM pula menamakan Nik Aziz Afiq Abdul sebagai calon.

Manakala, Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia, Kuan Chee Heng, juga dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’, turut menyatakan kesediaan bertanding.

Seramai 1,115 pegawai dan anggota polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang akan dikerah untuk bertugas sempena PRK itu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, sebanyak 385 anggota bantuan sumber luar juga akan bertugas pada PRK berkenaan.

Terdahulu, kerusi DUN Semenyih kosong berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.

Allahyarham memperoleh 23,428 undi sekali gus mengetepikan Datuk Johan Abdul Aziz daripada BN, Mad Shahmidur Mat Kosim (PAS) dan S. Arutchelvan (PSM).

Allahyarham menang dengan majoriti 8,964 undi.

 


Pengarang :