BERITA UTAMASELANGOR

Ribut di Tanjung Karang terburuk dalam tempoh 20 tahun

OLEH NADIAH ZAMLUS

TANJUNG KARANG, 13 FEB: Kejadian ribut yang merosakkan hampir 165 buah rumah, di sini disifatkan antara yang terburuk dalam tempoh 20 tahun, di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kejadian terbabit menyebabkan beberapa buah rumah termasuk sekolah dan masjid turut terjejas.

Katanya, sebanyak dua kampung terjejas teruk termasuk Kampung Sawah Sempadan dan Kampung Tiram Jaya.

“Kita boleh anggap ia kejadian bencana ribut paling buruk di negeri ini kerana membabitkan mangsa dalam jumlah agak besar sehingga mencecah hampir 500 orang.

“Bagaimanapun, segala bantuan akan diberi secepat mungkin dan saya harap penduduk bersabar sebelum semua kembali pulih seperti sedia kala,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke lokasi kejadian ribut dan melawat rumah mangsa di Kampung Sawah Sempadan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata, beliau antara individu yang berada lokasi ketika kejadian kerana sedang menjalankan program bersama penduduk kampung.

“Kejadian berlaku pada jam kira-kira 5 petang dan saya berada di sebuah khemah untuk perasmian program, pada waktu itu memang cuaca sudah berubah buruk termasuk kilat serta angin kuat.

“Beberapa saat ketika kami semua berpindah masuk ke dalam kawasan masjid kerana bimbang akan keselamatan masing-masing, sekelip mata khemah yang menjadi tempat acara runtuh serta merta akibat dibadai angin kuat, saya sehingga hari ini masih terkejut,” katanya.


Pengarang :