EKONOMINASIONAL

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Ringgit mencatatkan prestasi berbeza daripada kenaikan semalam untuk diniagakan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung sederhana dalam kebanyakan mata wang negara pesat membangun, kata peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.0700/0730 berbanding dolar AS daripada 4.0650/0700 ketika ditutup semalam.

Peniaga berkata, wujud tumpuan baharu dalam kalangan pelabur selepas Presiden AS, Donald Trump mengumumkan beliau akan menangguhkan pelan kenaikan tarif ke atas import barangan China, sekali gus menunjukkan perkembangan ketara rundingan perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.

Sementara itu, unit tempatan kebanyakannya diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama kecuali yen.

Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.3419/3462 daripada 5.3170/3240 ketika ditutup semalam dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6650/6687 daripada 3.6721/6769.

Mata wang tempatan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.0157/0182 daripada 3.0113/0155 serta rendah berbanding euro kepada 4.6235/6273 daripada 4.6130/6203.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :