EKONOMINASIONAL

Ringgit teruskan momentum meningkat berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Ringgit meneruskan momentum meningkat hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) disebabkan mata wang AS itu lemah berikutan kebimbangan wujud di AS berhubung penutupan kerajaan yang kedua dan ketegangan perdagangan AS-China yang berterusan.

Sehingga 9 pagi ini, unit tempatan berada pada 4.0630/0660 berbanding dolar AS daripada 4.0670/0720 pada Jumaat.

Maybank Kim Eng dalam nota penyelidikan hari ini berkata, kebimbangan mengenai penutupan kerajaan yang kedua meningkat selepas rundingan dalam Kongres berhubung pembiayaan bagi tembok keselamatan di sempadan AS-Mexico menghadapi masalah.

“Rundingan masih dapat diteruskan tetapi mendapat penyelesaian pada tarikh akhir pada Jumaat kelihatan sukar dan penggubal undang-undang berpendapat mereka akan mencapai kompromi,” katanya.

Mengenai ketegangan perdagangan yang berpanjangan antara Washington dan Beijing, seorang penganalisis lain berkata, pelabur kini menyasarkan pasaran sedang pesat membangun berikutan AS dan China akan mengadakan satu lagi perbincangan perdagangan pada 14 dan 15 Februari.

Dilaporkan Timbalan Perdana Menteri China, Liu He akan menyertai Wakil Perdagangan AS, Robert Lighthizer dan Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin dalam rundingan perdagangan peringkat tinggi antara kedua-dua negara minggu depan.

Dalam negara, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 2.9963/9992 daripada 2.9988/9029 pada Jumaat dan naik berbanding yen kepada 3.6994/7031 daripada 3.7023/7079.

Berbanding euro, unit tempatan meningkat kepada 4.6005/6056 daripada 4.6059/6124 dan naik berbanding pound kepada 5.2559/2614 daripada 5.2590/2667 pada Jumaat.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :