EKONOMINASIONAL

Ringgit tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini ekoran minat belian sederhana ke atas unit tempatan, kata peniaga.

Pada jam 9.10 pagi, ringgit ditambat pada 4.0710/0760 berbanding dolar daripada 4.0715/0765 pada penutupan, semalam, lapor BERNAMA.

Penganalisis Kanan Pasaran OANDA, Jeffrey Halley, berkata mata wang serantau mungkin menyusut hari ini ekoran pengukuhan dolar AS.

“Dolar AS meningkat semalaman. Euro dan pound British terus lemah ekoran data zon euro yang rendah, selain kebuntuan Brexit yang berterusan. Keadaan ini mungkin menular ke Asia,” katanya.

Sementara itu, penanda aras harga minyak Brent dan West Texas Intermediate masing-masing merosot 2.50 peratus dan 1.60 peratus semalaman ekoran pengukuhan dolar AS, selain cuaca yang bertambah baik, di Amerika Syarikat.

“Kurangnya berita mungkin bermakna dagangan tidak menentu di Asia dengan pergerakan harga minyak bergerak rendah susulan peningkatan dolar,” kata Halley.

Dalam negara, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 2.9987/0028 daripada 3.0017/0058 semalam, namun rendah berbanding yen kepada 3.7090/7139 daripada 3.7004/7059.

Berbanding euro, unit tempatan mengukuh kepada 4.6157/6230 daripada 4.6191/6252 namun menyusut berbanding pound Britain kepada 5.2728/2813 berbanding 5.2547/2619.


Pengarang :