SELANGOR

Rizab negeri melonjak di bawah PAKATAN

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SEMENYIH, 27 FEB: Kerajaan Selangor di bawah Pakatan Harapan (PAKATAN) berjaya meningkatkan rizab dan simpanan negeri daripada RM400 juta kepada RM2.8 bilion, sejak mengambil alih pentadbiran, pada 2008.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia hasil perbelanjaan berhemah diamalkan Kerajaan Negeri, selain menawarkan program berbentuk kebajikan kepada rakyat.

“Rizab Kerajaan Negeri meningkat berganda, itu pun selepas kita belanja RM3 bilion kepada rakyat.

“Kalau kita tidak belanja, ada RM6 bilion, namun kita fikir tiada guna angka pertumbuhan yang sihat jika tidak melaksanakan program membantu rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Agenda Aiman4Semenyih, di Pangsapuri Bandar Rinching, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Negeri terus komited membantu rakyat melalui pelbagai program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat.

“Kita mula dahulu pada 2008 hanya dengan enam program, sekarang Februari sudah ada lebih 43 program untuk bantu rakyat Selangor,” katanya.


Pengarang :