SELANGOR

RM12 bilion potensi pendapatan industri aeroangkasa

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 26 FEB: Lebih RM12 bilion adalah potensi jumlah pendapatan yang mampu diraih dalam industri aeroangkasa dan penerbangan di peringkat nasional berdasarkan kajian Frost & Sullivan.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, melihat kepada pulangan itu, industri berkenaan sewajarnya terus diperkembangkan memandangkan ia mempunyai masa depan cerah dengan kedudukan strategik Malaysia, khususnya Selangor dalam rantau ini.

“Kedudukan kita begitu baik, malahan daripada aspek kemahiran yang kita miliki buat masa ini juga amat memberangsangkan berbanding negeri dan negara lain dalam rantau ini.

“Ini adalah satu peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan meskipun kita menghadapi persaingan daripada negara seperti Filipina, Thailand, Singapura dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Townhall Selangor Aerospace Action Plan Invest Selangor, di The Saujana Hotel Kuala Lumpur di sini, semalam.

Terdahulu, sesi ‘Town Hall’ itu adalah inisiatif Kerajaan Negeri yang dicadangkan Majlis Aeroangkasa Selangor menerusi Invest Selangor dalam merangka strategi dan kaedah terbaik bagi memperkas serta menambah baik ekosistem industri aeroangkasa di Selangor.

Disertai kira-kira 150 peserta terdiri daripada agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri, sesi itu selaras visi membantu syarikat tempatan memperoleh akreditasi antarabangsa untuk meneroka pasaran antarabangsa, selain memperkasa industri terbabit melalui pelbagai segmentasi.

Dalam perkembangan berkaitan, Chang Khim berkata, pelan tindakan itu signifikan bagi menjadikan Selangor sebuah hab aeroangkasa dengan menjadikan kawasan di Sepang, Subang dan Serendah sebagai lokasi utama industri berkenaan.

Katanya, ia turut berperanan sebagai satu pelan perancangan komprehensif dan garis panduan dalam menentukan hala tuju pembangunan menjadikan Selangor sebagai pilihan utama hab pelaburan dan perdagangan industri itu.

“Kita mempunyai banyak kekuatan dalam bidang ini, maka kita mahu memastikan bahawa kita dapat memperkukuhkan kedudukan ini.

“Justeru, kita memerlukan input daripada pelbagai pihak untuk menjalin kolaborasi bagi memastikan industri ini akan berkembang menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dan Pengarah Urusan Malaysia of Frost & Sullivan, Hazmi Mohd Yusof.


Pengarang :