SELANGOR

RM500,000 untuk PBT tangani denggi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 FEB: Sejumlah RM500,000 diperuntukkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menjalankan kerja pembersihan dan penghapusan khas di kawasan yang mencatatkan kes denggi.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Kerajaan Negeri juga akan menjalankan tindakan pencegahan dan pengawalan yang lebih bersepadu dengan segera.

“Peruntukkan ini disalurkan kepada PBT bagi menangani wabak itu di kawasan ‘hotspot’ denggi khususnya kawasan yang sukar diakses,” katanya.

Katanya, Kerajaan Negeri turut melaksanakan kawalan berfokus bersama PBT di lebih 50 peratus kawasan yang terbabit denggi.

Katanya, aktiviti penguatkuasaan tempat pembiakan juga dipertingkatkan dengan memberi tumpuan ke kawasan awam seperti pasar raya, tapak pasar malam, pasar basah, pusat sukan dan kawasan rumah ibadah.

“Setakat ini, kita bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Selangor sudah melancarkan Kempen Selangor Gempur Aedes 2019 bermula 21 Januari lalu sehingga 17 Februari ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut meminta kerjasama penduduk supaya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan menjaga kebersihan persekitaran.

“Saya optimis penduduk memandang serius isu denggi, sekali gus mengambil langkah pencegahan mulai hari ini,” katanya.

Setakat ini, sebanyak 15,790 kes denggi direkodkan di seluruh negara dari 1 Januari hingga Ahad lalu dengan Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi.

Berdasarkan analisa dilakukan Unit Vektor, Jabatan Kesihatan Selangor mendapati peningkatan melebihi 200 peratus berbanding tahun lalu.

Antara daerah mencatat kumulatif kes tertinggi sehingga 12 Januari lalu adalah Petaling dengan 1,061 kes, Klang (960), Hulu Langat (608) dan Gombak (328).

Manakala, sebanyak 122 lokaliti ‘hotspot’ berjaya dikenal pasti membabitkan 66 di Petaling, Klang (22), Hulu Langat (21), Gombak (12) dan Sepang (satu).


Pengarang :