PENDIDIKANSELANGOR

RMS berkenan rasmi bangunan baharu SRA Sungai Serdang

OLEH SHEEDA FATHIL

KAPAR, 22 FEB: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan merasmikan bangunan baharu Blok Rafulin, Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Serdang, di sini, hari ini.

Baginda turut meluangkan hampir setengah jam meninjau Blok Rafulin setinggi tiga tingkat itu sambil diiringi Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim dan Pengerusi Yayasan Rafulin, Dato’ Rafee K Chekku.

Sebelum itu, baginda turut berkenan menerima sumbangan cek RM100,000 dari Yayasan Rafulin kepada Yayasan Raja Muda Selangor.

Terdahulu, baginda sempat berjemaah bersama rakyat bagi menunaikan solat Jumaat, di Masjid Jamiul Reduan, di sini.

Sementara itu, Haris dalam ucapannya berkata, Blok Rafulin itu menelan kos RM3.5 juta dan dilengkapi 18 bilik darjah, enam tandas, satu tandas Orang Kelainan Upaya (OKU) dan satu stor.

Katanya, blok itu mula dibina pada Ogos 2017 dan siap sepenuhnya Disember tahun lalu.

“Bangunan baharu ini mula diserahkan Yayasan Rafulin kepada JAIS untuk digunakan pada sesi persekolahan mulai 2 Januari lalu, susulan itu ia diberi nama “Blok Rafulin”.

“Sehingga kini, SRA Sungai Serdang menempatkan seramai 562 pelajar dan 19 guru,” katanya.

Pada masa sama, katanya, JAIS turut berterima kasih kepada Yayasan Rafulin dalam membantu menaik taraf bangunan sekolah itu menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yayasan terbabit.

Beliau berkata, pihaknya optimis lebih banyak syarikat korporat sudi tampil membantu dalam menaik taraf sekolah agama di negeri ini.


Pengarang :