NASIONALSENI

Rombakan FINAS mampu rangsang pengeluaran karya

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM) berharap rombakan dalam Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dapat mewujudkan suasana yang merangsang aktiviti pengeluaran khususnya dari segi pengkaryaan pengarah, penerbit dan karyawan lain.

Timbalan Presidennya, Dr Mahadi J. Murat berkata, sudah tiba masa untuk melakukan penambahbaikan kerana industri filem tempatan sedang beralih kepada fasa baharu.

“Dulu, tumpuan kami berasaskan Dasar Perfileman Negara yang bertolak daripada Akta FINAS, yang ditambah baik sebanyak dua kali dan sekarang ini kami memasuki era baharu yang memerlukan satu set agenda yang mesti difahami semua pemain industri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel di sini, malam tadi.

Beliau yang juga penerima Anugerah Pengarah Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-12 berkata, apa yang penting bukan sahaja dari segi konsep dan teknologi pengeluaran filem tetapi agenda negara yang membawa pembaharuan.

“Karyawan filem memerlukan panduan yang dapat memberi rangsangan untuk menambah baik terutama daripada aspek pembangunan industri.

“Penuntut bidang perfileman di institusi pengajian tinggi juga sedang melihat apakah sebenarnya pengisian agenda yang hendak dilakukan. Kami tidak boleh bertangguh lagi dalam soal ini,” katanya.

Menyentuh peranan karyawan dalam menterjemahkan misi kerajaan, Mahadi berkata, karyawan sendiri perlu meningkatkan daya kreativiti dan keupayaan teknologi bagi menghasilkan produk filem berkualiti.

Katanya, FDAM mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan tahap profesionalisme pengarah supaya mereka dapat menunaikan tanggungjawab untuk menyediakan kandungan yang kompetitif.

“Contohnya, kami mewujudkan Kod Amalan Profesional sebagai panduan kepada karyawan filem bagi memastikan penyampaian mereka mencapai tahap dikehendaki,” katanya.

Pada Disember 2018, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, mengumumkan barisan anggota baharu Lembaga Pengarah FINAS, diketuai Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Samsuni Mohd Nor, sebagai Pengerusi.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :