NASIONAL

RON97 dan RON95 naik 4 sen seliter

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 FEB: Harga runcit petrol bagi RON97 dan RON95 naik 4 sen seliter, mulai 9 Februari hingga 15 Februari ini.

Harga baharu minyak itu menyaksikan petrol RON97 naik daripada RM2.23 kepada RM2.27 seliter.

Manakala, petrol RON95 pula daripada RM1.93 kepada RM1.97 seliter, sementara itu, harga runcit diesel kekal pada paras RM2.18 seliter.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, penetapan harga runcit produk petroleum bagi minggu tersebut (9-15 Februari) adalah mengikut kaedah apungan terkawal di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Harga produk petroleum yang diproses di pasaran dunia telah meningkat berbanding minggu sebelumnya iaitu daripada AS$60 (RM244) setong kepada AS$62 (RM252) setong bagi petrol RON95 dan daripada AS$72 (RM293) setong kepada AS$73 (RM297) setong bagi diesel.

“Peningkatan harga pasaran global ini telah menyebabkan kenaikan harga runcit bagi produk petrol dan diesel. Namun harga runcit petrol RON95 masih lagi di bawah paras penstabilan harga yang dijanjikan oleh kerajaan iaitu RM2.20 seliter,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, Kementerian Kewangan turut memaklumkan, bagi produk diesel, peningkatan harga pasaran tersebut sepatutnya menyebabkan harga runcit diesel di bawah formula APM dinaikkan sebanyak 1 sen seliter iaitu daripada RM2.18 kepada RM2.19 seliter.

“Bagaimanapun selaras dengan janji Kerajaan Pakatan Harapan untuk menstabilkan harga runcit diesel, maka harga runcit diesel bagi tempoh 9 Februari sehingga 15 Februari 2019 dikekalkan tanpa berubah pada paras RM2.18 seliter,” katanya.


Pengarang :