NASIONAL

Rosmah akan mohon gantung prosiding kes saman syarikat barang kemas

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Datin Seri Rosmah Mansor akan menfailkan permohonan untuk menggantung prosiding kes saman sebuah syarikat pemborong barang kemas dari Lubnan yang menuntut beliau memulangkan 44 unit barang kemas yang dihantar kepadanya.

Peguam, N Rajivan yang mewakili Rosmah berkata, permohonan itu dibuat memandangkan sehingga hari ini kerajaan masih belum mengesahkan status 44 unit barang kemas terbabit sama ada berada pada pihak polis ataupun Rosmah.

Peguam itu berkata, Pesuruhjaya Kehakiman, Wong Chee Lim telahpun menetapkan untuk mendengar permohonan terbabit pada 25 Februari selepas mahkamah dimaklumkan hasrat Rosmah untuk memfailkan permohonan berkenaan.

“Pihak kami akan failkan permohonan bagi menggantung prosiding sehingga tempoh sitaan tamat. Kami akan failkan sebelum 25 Februari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengurusan kes itu di dalam kamar Wong hari ini.

Rajivan berkata, pihaknya percaya bahawa tempoh sitaan akan tamat pada Mei ini. Selain Rajivan, Rosmah turut diwakili peguam, Reza Rahim.

Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi mengetahui status 44 unit barang kemas itu sama ada berada pada pihak polis ataupun Rosmah.

Peguam, Datuk G David yang bertindak bagi syarikat dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL, berkata, mahkamah juga memerintahkan pihak kerajaan selaku defendan kedua dalam saman terbabit untuk memfailkan penyataan pembelaan.

Pada 20 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kerajaan untuk menjadi pencelah dalam kes saman itu dan dinamakan sebagai defendan kedua.

Peguam itu berkata, tarikh perbicaraan untuk kes terbabit juga telah ditetapkan pada 4 dan 5 Mac ini.

Pada 26 Jun tahun lalu, Global Royalty menyaman Rosmah menuntut beliau memulangkan 44 unit barang kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah US$14.79 juta atau hampir RM60 juta.

Dalam pernyataan tuntutannya, Global Royalty, pemborong barang kemas antarabangsa, mendakwa bahawa Rosmah telah lama menjadi pelanggan tetapnya dan bahawa firma itu akan menghantar konsaimen barang kemas kepadanya atas permintaan beliau. Rosmah kemudian akan menilai atau membeli barang kemas pilihannya yang akan dibayar sendiri olehnya atau melalui pihak ketiga.

Syarikat itu yang membekalkan barang kemas kepada kerabat diraja serta pelanggan dan ternama dari seluruh dunia, mendakwa bahawa barang kemas yang tidak dipilih biasanya akan dipulangkan, dan dalam keadaan tertentu Rosmah akan meminjam beberapa barang kemas itu dan memulangkannya kepada plaintif.

Global Royalty mendakwa pada 10 Februari tahun lalu, ia telah menghantar 44 set barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara US$124,000 dan US$925,000 kepada defendan melalui serahan tangan menerusi dua ejennya.

Syarikat itu berkata, semasa serahan, Rosmah mengesahkan dan menerima terma serta syarat yang terkandung dalam Memorandum No. 926 berkaitan barang kemas terbabit.

Syarikat itu mendakwa bahawa Rosmah, melalui surat bertarikh 22 Mei 2018, juga mengesahkan dan mengakui menerima barang kemas terbabit tetapi menyatakan semua barang kemas berkenaan tidak lagi berada dalam milikannya kerana telah dirampas dan ia kini berada di bawah jagaan pihak berkuasa Malaysia.

Firma itu mendakwa bahawa sepanjang masa material, plaintif adalah pemilik barang kemas terbabit dan pemilikan terbabit tidak pernah dipindahkan kepada defendan.

Global Royalty memohon pengisytiharan mahkamah bahawa firma itu adalah pemilik sah 44 unit barang kemas terbabit selain perintah pesanan yang menyatakan bahawa pemilikan barang kemas itu tidak pernah dipindahkan kepada defendan.

Ia juga memohon perintah mandatori supaya Rosmah menyediakan senarai barang kemas yang telah dirampas, perintah untuk barang kemas itu dipulangkan atau, jika tidak, Rosmah akan bertanggungjawab membayar harga barangan berjumlah, US$14.79 juta (RM59.83 juta ).

Rosmah, dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 23 Julai tahun lalu menafikan membeli mana-mana 44 unit barang kemas dan berkata, barang kemas terbabit dihantar kepada beliau untuk dilihat atas sifat beliau sebagai isteri Perdana Menteri Malaysia atas kehendak dan kerelaan syarikat itu sendiri dan tanpa sebarang obligasi untuk beliau membeli barang kemas berkenaan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :