SELANGOR

RTB Sungai Aur Fasa 5 dijangka selesai Mei ini

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KLANG, 20 FEB: Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa kini mampu menarik nafas lega apabila pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Aur Fasa 5 yang tergendala sejak tahun lalu dijangka selesai, pada pertengahan Mei tahun ini.

Ahli Dewan Negerinya, Gunarajah George berkata, projek yang berupaya mengatasi isu banjir itu tertangguh ekoran masalah pengalihan kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia (TM) dan Maxis, di kawasan terbabit.

Katanya, hasil perbincangan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pengalihan kabel itu akan diselesaikan secepat mungkin selepas mendapat kelulusan daripada TNB.

“Kebanyakan kerja sudah dibuat lebih daripada 80 peratus dan selebihnya berpunca daripada pengalihan kabel yang membuatkan projek berkenaan tertangguh.

“JPS jalankan tanggungjawab mereka tetapi apabila ada masalah daripada kontraktor atau TNB dan TM, sudah tentu ia akan menyusahkan lagi kerja mereka.

“Jadi, agensi terbabit perlu membantu mengalihkan kabel ini supaya JPS boleh meneruskan kerja mereka secara teratur dan disiapkan dalam jangka masa yang ditetapkan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Projek JPS, di Jalan Seruling 59 dan Jalan Raja Nong Taman Sentosa, di sini, hari ini.

Sebelum itu, beliau mempengerusikan perbincangan bersama wakil agensi terbabit bagi mencari jalan penyelesaian memastikan kelangsungan projek RTB.

Difahamkan, projek yang mula dilancarkan pada 10 November 2016 itu sepatutnya selesai pada tahun lalu, namun JPS melanjutkan tempoh sehingga 20 Mac tahun ini untuk mengalihkan kabel yang menghalang pelaksanaan projek berkenaan.

Pada masa sama, beliau turut memberi jaminan Projek Saliran Taman Sentosa dan Kolam Takungan Air yang terpaksa ditangguhkan ekoran masalah terbabit akan selesai dalam tempoh sama.

“Projek saliran ini juga perlukan bantuan TNB untuk mengalihkan kabel 11 kilo voltage (kV). Selepas kabel 11 kV dialihkan, kontraktor dapat selesaikan kerja mereka.

“Mereka juga perlu mendapatkan TNB bagi sebut harga dan selepas diluluskan, JPS lantik dan kabel itu akan dialihkan.

“Kita harap penduduk yang merungut masalah keselamatan boleh berikan kerjasama dan masa untuk siapkan projek ini,” katanya.


Pengarang :