Selangorkini
SUKANKINI

Sabah minat cungkil rahsia kecemerlangan sukan Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

KOTA KINABALU, 23 FEB: Kementerian Belia dan Sukan Sabah berminat untuk mencungkil rahsia sebenar, di sebalik kejayaan Selangor mengekalkan reputasinya sebagai gergasi sukan negara sepanjang zaman.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Poon Ming Fung @ Frankie berkata, hal itu ekoran pencapaian Selangor dalam sukan, khasnya di Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA), disifat menakjubkan.

“Kami di Sabah ingin mengetahui dan mempelajari bagaimana Selangor boleh mengekalkan prestasinya terutama dalam SUKMA sehingga lima kali bergelar juara.

“Sedangkan kami di Sabah nak capai sasaran pingat pun susah,” katanya yang juga Pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Delegasi Lawatan kerja EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman, di bilik mesyuarat Kementerian Belia dan Sukan di sini, semalam.

Turut sama dalam lawatan itu, MSN Selangor dan Unit Perancang Ekonomi Negeri.

Sementara itu, dalam sesi soal jawab, pemangku Pengarah Eksekutif MSN Selangor, Mohamad Nizam Marjugi berkata, selain menjuarai sembilan kali daripada 18 penganjuran SUKMA, Selangor turut konsisten berada dalam kelompok lima terbaik.

Katanya, antara strategi terpenting Selangor adalah sentiasa meneruskan program pembangunan sukan membabitkan atlet muda.

“Program ini mesti berterusan sampai bila-bila, jika tidak mahu lihat pengeluaran bakat terputus.

“Jika program pembangunan tidak konsisten, keputusan akhirnya juga tidak konsisten,” katanya.


Pengarang :