EKONOMINASIONAL

Saham di Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Saham di Bursa Malaysia dibuka tinggi berikutan peningkatan belian secara menyeluruh didorong sentimen pasaran positif susulan kenaikan kukuh saham Amerika Syarikat (AS).

Pada jam 9.36 pagi, petunjuk asas FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,694.28, naik 5.45 mata berbanding 1,688.83 semasa penutupan pada Jumaat.

Indeks dibuka 5.09 mata lebih tinggi pada 1,693.92.

Dalam nota, Public Investment Bank Bhd berkata peningkatan saham AS telah mendorong FBM KLCI lebih tinggi berikutan pelabur yakin bahawa Beijing dan Washington masih mampu untuk mengelak perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu daripada lebih meruncing.

Public Investment Bank berkata pada minggu ini, FBM KLCI dijangka meneruskan trajektori aliran meningkat, bergerak pada paras antara 1,700 dan 1,680.

Di Wall Street, penanda aras S&P 500 naik 1.1 peratus, peningkatan harian tertinggi setakat ini pada Februari, Dow Jones Industrial Average menokok 1.7 peratus dan Nasdaq Composite naik 0.6 peratus.

“Selepas perunding perdagangan AS dan China mengadakan perbincangan penting pertama mereka minggu ini dalam tempoh beberapa bulan, kedua-dua pihak akan bertemu lagi pada minggu ini di Washington,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik tiga sen kepada RM9.50, Public Bank meningkat enam sen kepada RM24.98 dan Tenaga kekal pada RM13.04.

Bagi saham aktif, Sapura Energy menokok satu sen kepada 31.5 sen, manakala Borneo Oil dan Eduspec Holdings masing-masing naik setengah sen kepada lima sen dan 3.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 44.22 mata kepada 11,794.49, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 41.62 mata kepada 11,705.22 dan FBMT 100 naik 41.81 mata kepada 11,654.72.

Indeks FBM Ace 39.37 mata lebih tinggi kepada 4,685.96 dan FBM 70 meningkat 68.35 mata kepada 14,096.55.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 53.35 mata kepada 17,685.92, Indeks Perladangan menokok 1.06 mata kepada 7,336.49 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.15 mata kepada 163.28.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 324 berbanding 131, manakala 245 kaunter tidak berubah, 1,166 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 601.50 juta saham bernilai RM213.17 juta.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :