EKONOMINASIONAL

Saham KL ditutup tinggi

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini selari prestasi saham serantau, dengan sentimen pasaran meningkat berikutan harapan positif bahawa Amerika Syarikat dan China akan mencapai persetujuan dalam rundingan perdagangan yang sedang berlangsung sebelum tarikh akhir pada 1 Mac.

Pada jam 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), kekal positif sepanjang hari, dan ditutup 3.91 mata lebih tinggi kepada 1,692.74 berbanding 1,688.83 pada penutupan Jumaat.

Selepas dibuka 5.09 mata lebih kukuh pada 1,693.92 awal hari ini, indeks tempatan bergerak antara 1,690.19 dan 1,695.61 di sepanjang hari.

Seorang peniaga berkata minat belian secara umumnya positif di rantau ini berikutan pelabur menaruh keyakinan bahawa Beijing dan Washington mampu untuk mengelak perang perdagangan berlarutan antara kedua-dua ekonomi terbesar dunia itu.

Beliau berkata Indeks Straits Times Singapura menokok 0.89 peratus kepada 3,268.43, Indeks Komposit Jakarta menambah 1.69 peratus kepada 6,496.86 dan Indeks Hang Seng Hong Kong menambah 1.60 peratus kepada 28,347.01.

“Di Wall Street Jumaat lepas, penanda aras S&P 500 meningkat 1.1 peratus, peningkatan harian tertinggi setakat ini dalam bulan February, manakala Dow Jones Industrial Average menokok 1.7 peratus, dan Nasdaq Composite meningkat 0.6 peratus,” katanya.

Antara saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank untung satu sen kepada RM9.48, Public Bank menambah lapan sen kepada RM25 manakala Petronas Chemicals meningkat enam sen kepada RM8.57.

Bagi kaunter aktif, Sapura Energy tidak berubah pada 30.5 sen, Bumi Armada susut satu sen kepada 22.5 sen manakala JAG turun 2.5 sen kepada 5.5 sen.

Kedudukan pasaran positif dengan 446 kaunter untung, 378 kaunter rugi manakala 389 kaunter tidak berubah, 653 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.75 bilion unit bernilai RM1.65 bilion berbanding 3.06 bilion unit bernilai RM1.9 bilion pada Jumaat lepas.

Indeks FBM Emas meningkat 30.44 mata kepada 11,780.71, Indeks FBMT 100 menambah 29.05 mata kepada 11,641.95 manakala Indeks FBM Emas Shariah naik 40.12 mata kepada 11,703.72.

FBM 70 menambah 43.76 mata kepada 14,071.95 manakala Indeks FBM Ace meningkat 7.59 mata kepada 4,654.18.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 20.28 mata kepada 17,652.85, Indeks Perladangan turun 9.52 mata kepada 7,325.91, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.44 mata kepada 163.57.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 1.80 bilion saham bernilai RM1.46 bilion daripada 2.18 bilion saham bernilai RM1.81 bilion Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran turun kepada 481.76 juta unit bernilai RM105.79 juta berbanding 559.98 juta unit bernilai RM118.5 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 463.11 juta saham bernilai RM77.23 juta berbanding 320.18 juta saham bernilai RM55.26 juta.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 263.70 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (363.66 juta), pembinaan (110.85 juta), teknologi (122.76 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (35.64 juta) 93.37 juta), perladangan (23.32 juta), REIT (10.17million), dana tertutup (79,000), tenaga (664.22 juta), penjagaan kesihatan (25.67 juta), telekomunikasi dan media (49.67 juta) dan utiliti (13.53 juta).

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :