SELANGOR

Sambutan Tahun Baharu Cina 2019 sasar 11,000 pengunjung

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 FEB: Sambutan rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina peringkat negeri yang bakal berlangsung pada 16 Februari ini, di Dataran Petaling Jaya menyasarkan kehadiran 11,000 pengujung.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, sambutan itu bakal diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Beliau berkata, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut akan berangkat menyerikan sambutan yang bermula dari jam 7 malam sehingga 10.30 malam.

“Tidak ketinggalan, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, EXCO Kerajaan Negeri, Ketua Jabatan, wakil kedutaan serta seluruh warga Selangor akan hadir pada sambutan kali ini.

“Sambutan ini bertujuan mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat serta memupuk persefahaman dalam kalangan masyarakat berbilang kaum yang ada di Selangor,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Katanya, Invest Selangor Berhad sekali lagi akan menjadi penganjur sambutan perayaan itu dengan kerjasama Setiausaha Kerajaan Negeri, Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Selangor, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Tourism Selangor, Hijrah Selangor serta agensi kerajaan lain.

“Pelbagai pengisian akan disediakan bersempena sambutan kali ini seperti tradisi penyampaian sumbangan ‘ang pow’ kepada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun, persembahan kebudayaan selama 110 minit dan jamuan makan,” katanya.

Pada masa sama, MBPJ turut menyediakan perkhidmatan Bas Percuma PJ City Bus bagi memudahkan orang awam bersama memeriahkan acara.


Pengarang :