SELANGOR

Sasar 70% calon dapat kerja

OLEH NOR UMIRAH IZRIN

SHAH ALAM, 27 FEB: Sebanyak 70 peratus calon disasar mendapat tawaran pekerjaan, pada program Selangor Mega Job Fair 2019, di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS), Serdang, pada 16 Mac ini.

EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, jumlah itu bakal mengatasi 60 peratus atau 5,359 calon yang berjaya mendapat tawaran pekerjaan, pada tahun lalu.

“Kerajaan Negeri komited membantu rakyat khususnya belia untuk memperolehi kerjaya stabil, sekali gus mengurangkan masalah pengangguran,” katanya pada sidang media, di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Selangor, Ahmad Mudi Onn Nor berkata, sebanyak 180 ‘booth’ disediakan pada karnival itu dengan kawasan yang lebih luas.

Beliau turut menasihatkan calon supaya mendaftar dahulu di portal rasmi JobsMalaysia sebelum hadir ke program bagi mengelakkan kesesakan.

Karnival itu bakal disertai 180 syarikat swasta dan agensi kerajaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia.


Pengarang :