SELANGOR

Sasar hapus jurang digital

OLEH NORHAYATI UMOR dan HAFIFA AWANG

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Kerajaan Negeri komited merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar ke arah anjakan Revolusi Industri 4.0.

Ketua Pegawai Eksekuti Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, Raja Shahreen Raja Othman berkata, pelbagai usaha dan kajian akan dipertingkatkan supaya perkembangan teknologi masa kini dinikmati setiap lapisan.

“Antara isu utama yang masih perlu diperbaiki ialah sistem perhubungan dan komunikasi jalur lebar yang kini hanya tertumpu kepada beberapa kawasan iaitu Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Ampang, Bangi, Subang, dan Shah Alam.

“Justeru, pada tahun ini, kita mahu mempertingkat dan memperluaskan perkhidmatan rangkaian jalur lebar, WiFi Smart Selangor (WiFiSS) sebagai rangkaian perhubungan digital yang efisien bagi memenuhi keperluan asas penduduk masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Forum Perniagaan Selangor Synergies: Infrastruktur Digital, di Hotel Saujana, di sini.

Katanya, permintaan bagi perkhidmatan jalur lebar di negeri itu semakin meningkat, malah kini tidak dapat menampung walaupun memiliki akses jaringan yang kuat.

Beliau berkata, pihaknya turut menyasarkan perkhidmatan itu dinikmati bukan sahaja di Lembah Klang, malah di luar Selangor.

“Hal ini kerana perkhidmatan jalur lebar menjadi ‘basic’ dalam kehidupan seharian bukan hanya air dan elektrik sahaja, justeru kita akan memastikan semua rakyat atau penduduk di negeri ini akan saling terhubung tanpa meninggalkan mana-mana pihak atau kawasan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut mendapat kerjasama baik daripada syarikat telekomunikasi dalam menyediakan perkhidmatan itu dan infrastruktur lain.

“Terima kasih kerana menyediakan perkhidmatan yang terbaik di negeri ini, bagaimanapun menjadi cabaran masa akan datang apabila jumlah penduduk semakin meningkat menjelang 2030,” katanya.

Untuk rekod, rakyat Malaysia antara masyarakat dunia yang tertinggi berhubung secara digital dengan kira-kira 80 peratus mempunyai akses internet dan sebahagiannya melalui rangkaian mudah alih.

 


Pengarang :