SUKANKINI

Sasar separuh akhir Kejuaraan B-22 ASEAN di Kemboja

SEPANG, 15 FEB: Ketua jurulatih skuad bola sepak Bawah 22 (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee menyasarkan skuad muda negara mampu layak ke peringkat separuh akhir Kejuaraan B-22 Konfederasi Bola Sepak ASEAN di Phnom Penh, Kemboja yang bermula pada 18 Februari ini.

Beliau berkata, sasaran berkenaan mampu dicapai jika pemainnya memberikan persembahan terbaik pada kejohanan terbabit walaupun sempat menjalani latihan singkat selama lima hari sahaja.

“Secara realiti, kita harus bersikap realistik kerana ketiadaan beberapa pemain utama, namun kita cuba untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

“Namun, apa lebih penting bagi saya, pemain dapat pendedahan sebelum beraksi pada pusingan kelayakan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia), pada Mac nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebelum skuad negara berlepas ke Kemboja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Beliau mendedahkan beberapa pasukan sudah membuat persediaan awal termasuk Myanmar yang mengambil keputusan menghentikan liga mereka selama sebulan bagi memberi laluan kepada skuad B-22 menjalani latihan rapi, selain Indonesia yang menjalani latihan sejak dua minggu lepas.

Persiapan skuad B-22 negara sebelum ini dilaporkan terjejas susulan keengganan beberapa pasukan melepaskan pemain mereka bagi mewakili negara pada kejohanan berkenaan.

Kim Swee menyenaraikan 23 pemain untuk menggalas cabaran negara pada kejohanan berkenaan yang kali terakhir diadakan, pada 2005.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B akan memulakan kempen berdepan tuan rumah, Kemboja pada 18 Feb diikuti Indonesia (20 Feb), sebelum menamatkan aksi pusingan awal menentang Myanmar, selang dua hari kemudian.

Juara bertahan, Thailand mengetuai cabaran kumpulan A bersama Vietnam, Timor-Leste dan Filipina. Tiga pasukan iaitu Singapura, Brunei dan Laos mengambil keputusan menarik diri daripada kejohanan berkenaan, namun tidak menyatakan punca mereka berbuat demikian.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan teratas daripada kumpulan A dan B, layak ke separuh akhir pada 24 Feb, manakala aksi final dijadual pada 26 Februari, dengan semua perlawanan akan berlangsung di Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh.

Senarai 23 pemain:

Muhammad Azri Ab Ghani, Ahmad Tasnim Fitri Mohd Nasir (Felda United); Nik Akif Syahiran Nik Mat, Muhammad Danial Haqim Draman, Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni, Nik Azli Nik Alias (Kelantan); R. Kogileswaran, R. Dinesh (Pahang); Damien Lim Chien Khai, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew, Ariff Ar-Rasyid Ariffin (PKNS FC)

Evan Wensley Wenceslaus, Ariusdius Jais (Sabah); Muhammad Haziq Nadzli, Dominic Tan Jun Jin (JDT); Mohamad Hariz Kamarudin (JDT II); Muhammad Amirul Ashraf Ariffin (UiTM FC); Muhammad Nazirul Afif Ibrahim (Perak); Nabil Hakim Bokhari (Kuala Lumpur); Muhammad Izzan Syahmi Mustapa (Terengganu FC); Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak (Fagiano Okayama), K. Thivandaran (Petaling Jaya City FC); Danish Haziq Saipul Hisham (Negeri Sembilan).

 


Pengarang :