SELANGOR

Satim perlu fahami konsep qada’ dan qadar

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 28 FEB: Ketua UMNO Bahagian Puchong, Datuk Mohamed Satim Diman perlu memahami konsep qada’ dan qadar yang terkandung dalam rukun iman, kata Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Borhan Aman Shah.

Beliau berkata, Satim tidak seharusnya menggunakan kenyataan mengaitkan kematian wakil rakyat Pakatan Harapan (PAKATAN), di Selangor sebagai amaran daripada Allah supaya rakyat Malaysia memilih parti yang tepat.

“Sebagai seorang ahli politik beragama Islam, beliau seharusnya tidak menggunakannya sebagai modal politik sempit ketika kempen pilihan raya.

“Saya percaya kenyataan yang dangkal itu mengguris hati keluarga empat Ahli Dewan Negeri Selangor yang kehilangan insan mereka cintai,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Satim dalam Ceramah Umum Barisan Nasional di pusat daerah mengundi Bandar Tasik Kesuma, Semenyih mendakwa satu demi satu Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlaku di Selangor adalah amaran daripada Allah supaya rakyat Malaysia memilih parti yang tepat.

Katanya, semua PRK di Selangor iaitu di Sungai kandis, Seri Setia, Balakong dan kini di Semenyih, semuanya membabitkan kematian wakil rayat daripada PAKATAN.

Sehubungan itu, Borhan menggesa menggesa bekas Ketua Pembangkang Selangor itu untuk menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf kepada ahli keluarga empat wakil rakyat terbabit.

Tahun lalu, tiga PRK diadakan di Selangor dalam tempoh 100 hari selepas Pilihan Raya Umum ke-14, iaitu Shuhaimi yang meninggal dunia ekoran kanser limfoma, Dr Shaharudin akibat kanser usus, manakala bekas ADN Balakong, Eddie Ng terbabit kemalangan.

Baru-baru ini, ADN Semenyih, Bakhthiar meninggal dunia kerana sakit jantung


Pengarang :