SUKANKINI

Saya bertanggungjawab kekalahan Selangor – Sathiananthan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM , 18 FEB: Jurulatih Selangor, B Sathiananthan mengambil tanggungjawab penuh terhadap kekalahan 0-4 pasukannya kepada PKNS FC yang mempamerkan aksi longlai selain gagal menyudahkan peluang terhidang.

Beliau berkata, keputusan itu nyata mengecewakannya yang tidak menyangka Selangor gagal menterjemahkan peluang di hadapan gol selain memberikan ruang mudah buat pasukan pelawat.

“Kalau dah kena 0-4 memang (kecewa) dan saya bertanggungjawab.

“Daripada pertahanan kita yang longlai, dengan penyerang yang mempunyai banyak peluang tetapi gagal menjaringkan gol, maka saya bertanggungjawab,” katanya pada sidang media selepas tewas 0-4 di Stadium Shah Alam, semalam.

Beliau berkata, PKNS FC berjaya memanfaatkan peluang berbanding pasukannya walaupun lebih banyak melakukan percubaan disifatkannya mudah diselamatkan penjaga gol lawan.

“Sebagai jurulatih, saya akan memberikan motivasi kepada pemain untuk kembali bangkit bertemu Pahang.

“Pada saya, perlawanan ini adalah berkenaan menjaringkan gol. Kalau kita gagal ambil peluang, mereka (PKNS FC) mengambilnya,” katanya.

 

 


Pengarang :