NASIONAL

Sedar kekangan, namun PAKATAN tekad tunaikan janji manifesto – PM

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUCHONG, 17 FEB: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) sentiasa bersungguh-sungguh berusaha melaksanakan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Bagaimanapun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan turut menyedari kekangan dihadapinya selepas mengambil alih pentadbiran.

“Kita akan bersungguh-sungguh tunaikan janji kita walaupun selepas kita ambil alih kerajaan kita dapati sukar untuk laksanakannya.

“Namun, dengan kerjasama semua pihak saya percaya kita berjaya laksanakan manifesto kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Dasar Komuniti Negara di Padang Awam Majlis Perbandaran Subang Jaya di Taman Puchong Indah di sini, hari ini.

Dr Mahathir turut diiringi isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan beberapa menteri kabinet.

Dr Mahathir berkata, antaranya janji PAKATAN untuk membina 1 juta rumah mampu milik dalam masa 10 tahun seperti di dalam manifesto mereka.

Katanya, walaupun kerajaan menghadapi pelbagai kekangan dalam melunaskan janji tersebut, namun ia tetap akan dilaksanakan demi membantu golongan kurang berkemampuan terutama kumpulan B40, dengan kerjasama pihak swasta.

“Selain itu, dengan cara ini kita juga dapat mengawal harga rumah daripada terus meningkat tanpa kawalan,” katanya.

 

 


Pengarang :