NASIONAL

Segera pulih keyakinan rakyat

KUANTAN, 6 FEB: Pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN) perlu mengambil langkah segera bagi memulihkan keyakinan rakyat.

Bendahari Agung KEADILAN, Lee Chean Chung berkata, isu itu tidak seharusnya dipandang ringan, sebaliknya memerlukan penyelesaian supaya ia tidak bertambah teruk.

“Kita perlu pandang serius terhadap semua isyarat yang diberikan (rakyat), mungkin ini bersifat sementara kerana mereka kecewa dengan beberapa menteri atau dasar yang tidak jelas.

“Tetapi ia perlu diatasi segera untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap PAKATAN,” katanya kepada pemberita semasa ditemui pada Rumah Terbuka sempena Tahun Baharu Cina di rumahnya di sini, hari ini.

Katanya, PAKATAN juga perlu memberi tumpuan kepada aspek ekonomi iaitu pengagihan dan perkembangan ekonomi memandangkan rakyat semakin dibebani dengan peningkatan kos sara hidup.

Katanya, walaupun kerajaan sudah memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan, namun keresahan rakyat dalam isu ekonomi yang berlaku sejak awal tahun lalu masih dirasai.

“Oleh itu, kerajaan perlu mencari mekanisme lain dan menyediakan dasar ekonomi menyeluruh untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :