SELANGOR

Selangor Agro Market akan diperluas

OLEH SHEEDA FATHIL

SEMENYIH, 10 FEB: Program Selangor Agro Market (SAM) akan diperluaskan kepada beberapa lokasi yang akan dikenal pasti di sekitar negeri ini.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, sejak ditubuhkan tahun lalu sambutan terhadap program SAM amat memberangsangkan.

“Sambutan agak luar biasa apabila tahun lalu sahaja hasil jualan lebih RM5 juta berjaya dijana, manakala sehingga Januari ini ia sudah mencecah lebih RM300,000.

“Susulan sambutan diterima amat menggalakkan, kita bercadang mahu menambah lagi SAM di kawasan strategik selain memastikan penjual yang datang benar-benar ‘genuine’ (tulen) dan terus dari ladang atau kilang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program SAM dan Pelancaran Agro Bandar peringkat Hulu Langat di Taman Pelangi Semenyih, di sini, semalam.

Program SAM adalah kolaborasi Kerajaan Negeri bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang sudah bermula awal tahun lalu membabitkan pelaksanaan 87 lokasi di sembilan daerah di Selangor dengan nilai jualan sebanyak RM5.2 juta.

Program itu menawarkan beberapa aktiviti ‘touchpoint’ antaranya Program Jualan Secara Terus Dari Ladang dan Kilang produk berasaskan pertanian dengan menawarkan harga berpatutan pengurangan sejumlah lima hingga 25 peratus lebih rendah.

Selain itu, objektif program SAM dilaksana bertujuan menambah outlet akses rangkaian pemasaran yang memberi peluang kepada agropreneur di peringkat pengeluaran menambah pendapatan.

Malah, ia juga sebagai pelan pemasaran untuk memasarkan hasil pertanian sekiranya berlaku lambakan (buah-buahan bermusim) di pasaran.


Pengarang :