SELANGOR

Selangor jimat RM990 juta, BN lesap berbilion

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 24 FEB: Kerajaan Negeri berjaya menjimatkan RM990 juta wang rakyat di antara 2011 hingga 2018, kesan daripada kejayaan memulihkan sistem yang rosak tinggalan Barisan Nasional (BN).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ketika Kerajaan Negeri berjaya menyelamatkan dana rakyat, BN pula kekal mengamalkan sistem korup bagi melindungi kepentingan peribadi dan kroni.

“Sejak 2011, kita ubah dasar yang mewajibkan tender terbuka dan pada 2015, kita perbaiki dengan sistem ‘cut off’.

“Tahun lepas sahaja Kerajaan Negeri dapat jimat hampir RM70 juta, menyelamatkan duit rakyat daripada hilang dan dalam tempoh 2011 hingga 2018, kita berjaya jimatkan RM990 juta, hampir satu bilion daripada kontrak yang diagihkan secara tender,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum PAKATAN, pada kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih, di Taman Sri Jenaris, di sini, malam tadi.

Katanya, hasil penjimatan itu, Kerajaan Negeri mampu melaksanakan pelbagai program Merakyatkan Ekonomi Selangor, sebelum dijenamakan semula sebagai Inisiatif Peduli Rakyat.

Namun, katanya, BN kekal dengan amalan korup dengan pelbagai skandal membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan ramai menteri lain.


Pengarang :