BERITA UTAMASELANGOR

Selangor komited banteras aktiviti salah guna dadah

OLEH NORHAYATI UMOR

SERDANG, 23 FEB: Kerajaan Negeri terus komited membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah melalui kerjasama pelbagai pihak seperti Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, dadah adalah ancaman besar kepada negara dan penyalahgunaannya semakin menular membabitkan pelbagai lapisan masyarakat merentasi umur, jantina, taraf pendidikan dan sosio ekonomi.

“Justeru, pendekatan secara holistik dan inklusif perlu ditekankan dalam mempergiatkan pembabitan komuniti serta kolaborasi pelbagai pihak untuk membentuk komuniti yang aktif juga berdaya huni bagi mewujudkan kualiti persekitaran setempat yang aman selain selamat.

“Melalui projek perintis, PEMADAM menubuhkan kelab terdiri daripada belia untuk menjadi penggerak kepada komuniti menangani isu berkenaan, termasuk penubuhan kelab di institusi pengajian tinggi, sekolah, komuniti dan lokaliti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Bulan Antidadah Kebangsaan, di Universiti Putra Malaysia, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Amirudin yang juga Penaung dan Pengerusi PEMADAM Selangor berkata, sebanyak 15 kawasan di negeri itu direkodkan sebagai ‘hotspot’ penyalahgunaan dadah.

Katanya, ia membabitkan Sungai Besar, Rawang, Selayang, Gombak, Pandan Indah, Hulu Kelang, Bandar Ampang, Kajang, Semenyih, Bangi, Batu 9 Cheras, Serdang, Pandamaran, Bandar Klang dan Petaling Jaya Selatan.

“Satu kawasan Petaling Jaya Selatan dari 15 kawasan terbabit berjaya diturunkan dari klasifikasi kawasan berisiko tinggi kepada kawasan berisiko atas usaha AADK bersama rakan strategik dan rakan pintar, sejak 2016.

“Malah, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM 1 Juta melalui Belanjawan 2019 untuk menangani isu terbabit,” katanya.

Beliau berkata, dalam usaha menjadikan kesemua 15 kawasan itu sebagai kawasan selamat, strategi pemberdayaan komuniti dilihat penting untuk memberikan pengetahuan dan kefahaman berkenaan bahaya dadah selain kesedaran kepada komuniti.

Untuk rekod, jumlah penyalahgunaan dan penagih dadah, di Selangor adalah seramai 14,556, iaitu keempat tertinggi di Malaysia.

Bagaimanapun, jumlah itu jika dibandingkan dengan jumlah penduduk di Selangor secara rationya adalah 0.23 peratus, menjadikan negeri itu berada pada kedudukan ke-13, di Malaysia.

“Namun, saya tidaklah memandang remeh isu dan masalah penyalahgunaan dadah di Selangor,” katanya.


Pengarang :